MEI 2023

Syabas Kerajaan Sarawak - TYT


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin hubungan erat Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan akan terus membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

Beliau berharap, Kerajaan Perpaduan dapat segera menyelesaikan tuntutan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan diharap terus melaksanakan pembangunan di negeri ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, membangun infrastruktur asas, menjaga kebajikan Sarawak dan meningkatkan tahap keselamatan khususnya kawasan sempadan, katanya merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  (DUN( Ke-19 di sini.

Menurut Tun Taib, Sarawak yang akan merayakan ulang tahun Ke-60 kemerdekaan tahun ini telah banyak mencapai kejayaan dari segi ekonomi, politik dan sosial.

“Marilah kita sama-sama meraikan ulang tahun Ke-60 itu bagi menghargai sumbangan pejuang kemerdekaan Sarawak. Begitu juga sumbangan pemimpin yang telah membawa kestabilan dan pembangunan yang rakyat nikmati sekarang,” katanya.

Sambil merapak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan kemelut politik Malaysia, Tun Taib gembira kerana pelbagai program dianjurkan sempena sambutan perayaan 60 tahun Sarawak merdeka dan perayaan itu pasti mengukuhkan lagi semangat perpaduan rakyat Sarawak.

Beliau menzahirkan syabas kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana berjaya memulihkan ekonomi sejak pandemik Covid-19 dengan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bernilai RM6.7 bilion berjaya membantu rakyat yang terkesan.

Yang di-Pertua Negeri yakin melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, Sarawak akan menjadi ekonomi maju menjelang 2030.

Inisiatif pembangunan strategik seperti ekonomi digital telah melonjakkan ekonomi Sarawak, katanya dan gembira kerana Kerajaan Sarawak meneroka ekonomi baharu yang mampu meningkatkan ekonomi dan hasil negeri ini.

Stategi ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau itu, katanya, berjaya menarik banyak pelaburan ke Sarawak dan usaha itu akan membantu menjaga dan memelihara alam sekitar.

Beliau berkata, perniagaan karbon dan penyelidikan sumber ekonomi baharu oleh  Pusat Biodiversiti telah menghasilkan sumber ekonomi baharu yang akan menggandakan pendapatan Sarawak dan bakat anak Sarawak khusus dalam bidang perkhidmatan dan kesihatan.

Tun Taib turut mengucap syabas kepada Kerajaan Sarawak kerana sentiasa saksama dengan semua kaum dan hak rakyat Sarawak sentiasa dipelihara sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

Dasar itu, tambahnya, merupakan tonggak perpaduan dan toleransi kaum.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat menjadikan Sarawak terus maju dan makmur agar dapat hidup dengan aman demi generasi kini dan akan datang.

Sumber dari : Jiwa Bakti